Foreword

Assalamu'alaikum. Welcome to this plain, mediocrely designed hut of mine. I love to write, and this is where I write. Things that I write, there might be mistakes in them. I seek refuge in Allah swt for me and you from the harm my writing may bring. Any good from it, may He swt reward me for that and spread the good to others. Any words that appear displeasing to you, don't take it to heart for I don't intend to hurt anyone in any way. Any advices I put forward, may Allah swt give me the taufiq to first act upon them, for they might testify against me in the hereafter. Jazakallah Khair.

Wednesday, March 21, 2012

jambatan pulau pinang?


Sebagai manusia, kita tidak boleh lari dari perubahan fasa kehidupan. Dan setiap perubahan fasa ini biasanya datang dengan tanggungjawab dan ekspektasi yang baru untuk dipenuhi. Sebagai contoh, saya mungkin akan meninggalkan fasa seorang pelajar tak lama lagi dan berpindah ke alam pekerjaan (tua dah). Kehidupan kita di detik ini bukanlah semata-mata untuk memikirkan bagaimana untuk menghadapi masa depan. Sebaliknya, detik ini juga perlu dihadapi dan digunakan dengan sebaiknya, kerana mungkin masa depan yang diharapkan itu tidak akan kunjung tiba. Tapi tak dinafikan, saya juga telah siap sedia dengan pelbagai perancangan di minda. Mungkin perkara yang paling menakutkan tentang masa depan adalah ketidakpastian. Tapi dari satu sudut, ketidakpastian inilah yang menambahkan perisa dan rencah kehidupan. Bagi kita umat Islam yang beriman dengan Lailahaillallah, ketidakpastian ini sepatutnya bukanlah satu masalah besar..kerana kita (sepatutnya) meyakini bahawa Allah swt telah menetapkan qada' dan qadar-Nya. Segala yang akan berlaku sudah digariskan di Lauh Mahfuz 50,000 tahun sebelum alam tercipta. Betapa telitinya ketetapan Allah swt sehinggakan tahap kepandaian atau ketidakpandaian seseorang pun telah dituliskan. Oleh itu, apa sahaja yang bakal dihadapi kelak, baik atau buruk, diyakini akan ada hikmahnya dengan syarat usaha yang terbaik dari si hamba telah dipersembahkan. Mungkin kita (saya) memahami perkara ini, tetapi untuk meyakini bahawa rezeki, jodoh telah ditetapkan bukanlah mudah.

Bak kata seseorang;

"Bila bercakap soal jodoh, ramai memilih untuk berusaha keras mencari walaupun sedar hakikat jodoh sudah ditentukan. Tapi bila bercakap soal hidayah, ramai pula memilih untuk menunggu biarpun sedar hidayah itu perlu dicari, bukannya jatuh ke riba."

Kebanyakan yang kita (saya) risaukan dan kejarkan di dunia ini sekarang adalah merupakan perkara-perkara yang telah pun ditetapkan oleh Allah swt. Satu perkara yang tidak ditetapkan tetapi jarang-jarang dirisau dan dikejarkan: hidayah. Hidayah itu bukan cuma untuk orang yang belum beriman. Orang yang (kononnya) sudah beriman juga perlukan hidayah, bahkan mungkin lebih lagi. Hidayah yang dimaksudkan adalah hidayah untuk memperbetul dan memperbaiki iman. Kerana takut-takut iman yang kita miliki sekarang ini tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Allah swt. Maka alangkah ruginya jika 'amalan yang menggunung tinggi (kalau ada lah) itu nanti ditolak kerana iman yang rosak. Na'uzubillah. Perjalanan kita masih panjang, bukan di sini, tapi selepas "di sini." Barzakh, Mahsyar, Sirat, Mizan adalah merupakan fasa-fasa yang kita akan tempuhi, dan fasa-fasa ini bukanlah pendek seperti fasa yang kita lalui di sini. Barzakh bukanlah seperti tidur di malam hari menunggu hari esok. Mahsyar bukanlah seperti berbaris menunggu nombor giliran di hospital. Sirat bukanlah seperti melintasi jambatan Pulau Pinang sambil menikmati pemandangan, dan Mizan bukanlah seperti menghadapi debaran keputusan SPM. Justeru itu, saya menyeru diri sendiri dan sahabat2 sekalian untuk memanjangkan perancangan yang kita usahakan, daripada 20-30 tahun akan datang kepada 500 tahun akan datang. Bagaimanakah keadaan kita ketika itu ditentukan dengan perancangan hari ini. Wallahua'lam.

P/s: Wah..rasa macam sebuah pencapaian menulis dalam Bahasa Ibunda. ^^